ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatannya terhadap Himpunan Hari Wanita 2024 yang berlangsung di ibu negara semalam.

Ketua Polis Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Kita selepas ini akan memanggil penganjur Himpunan Hari Wanita itu untuk mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan lanjut kami,” katanya ketika dihubungi tengah hari tadi.

Tambah beliau, himpunan itu turut dijalankan siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 untuk tindakan lanjut.

Semalam, kira-kira 200 peserta telah berhimpun di luar sebuah pusat beli-belah bermula jam 9 pagi.

Kumpulan itu kemudian telah berarak menuju ke arah Dataran Merdeka sambil mendukung plakad, kain rentang dan bendera.

Sebelum ini pada Selasa lalu, polis menafikan dakwaan penganjur perhimpunan Hari Wanita Sedunia kononnya notis pemakluman yang dihantar sebanyak empat kali telah ditolak polis.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa borang pemakluman yang dihantar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Women’s March Malaysia kepada pihak polis pada Jumaat lalu tidak lengkap selain disunting tanpa menjawab lima daripada keseluruhan 14 soalan yang wajib dijawab dalam borang tersebut. – MalaysiaGazette