POlis menemukan mayat lelaki tersangkut pada paip air di sungai klang berhampiran kubur Islam di Sungai Way pagi semalam.Ihsan IPD Subang Jaya

SUBANG – Satu mayat manusia disyaki lelaki tempatan telah ditemui di Sungai Klang berhampiran Tanah Perkuburan Islam, Bukit Tandang, Sungai Way di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, polis menerima panggilan orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut pada jam 9 pagi semalam.

Katanya, pengadu mendakwa melihat mayat lelaki tersangkut pada tiang paip air di Sungai Klang berdekatan kubur Islam di Bukit Tandang, Jalan PJS 5/1m, Sungai Way.

“Pemeriksaan polis di lokasi mendapati mayat lelaki tersangkut di paip air dalam keadaan tertiarap dalam air dan berpakaian lengkap tanpa kasut.

“Pemeriksaan lanjut polis mendapati simati disyaki lelaki tempatan berpakaian baju kemeja T warna biru dan berseluar jeans biru selain bertali pinggang hitam serta memakai jam tangan hitam di tangan kiri,” katanya dalam kenyataan pagi tadi.

POlis menemukan mayat lelaki tersangkut pada paip air di sungai klang berhampiran kubur Islam di Sungai Way pagi semalam.Ihsan IPD Subang Jaya

Tambah beliau, siasatan lanjut pasukan forensik di lokasi juga mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada badan simati.

“Namun, pasukan forensik polis dari IPK Selangor menemui kecederaan luka di dahi. luka abrasi di kedua-dua belah tangan dan lebam di rusuk kiri.

“Lidah simati juga terjelir keluar dan tiada senjata ditemui berdekatan tempat kejadian itu,’ ujarnya.

Tegas Wan Azlan lagi setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)

“Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

“Polis turut meminta mana-mana orang yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan mayat berkenaan agar tampil membantu polis memberikan maklumat untuk siasatan kes,” tegasnya.-MalaysiaGazette