Bangunan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 09 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersedia untuk menjelaskan fakta sebenar berkaitan rizab Lembaga Tabung Angkatan Tentera kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sekiranya dipanggil nanti.

Menteri Pertahaanan itu berkata, ia kerana Penyata Kewangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang mendedahkan LTAT menghadapi rizab negatif berjumlah RM0.388 bilion pada tahun 2022 adalah tidak tepat.

Jelas Mohamed Khaled, pada tahun 2022, rizab LTAT memang berada pada kedudukan positif.

“Sebenarnya ada tiga tabung komponen rizab gabungan dalam LTAT, tetapi pihak Ketua Audit Negara merujuk kepada satu tabung sahaja (Rizab Pendapatan Komprehensif Lain (OCI), tetapi tabung secara gabungan menunjukkan positif dan untuk tahun ini pun mencatatkan positif.

“Ini bermakna pada tahun lepas 2022 kita merekodkan positif, 2023 pun positif lebih kurang dalam RM900 juta rizab LTAT.

“Ertinya, kedudukan rizab LTAT (negatif rizab) seperti yang dibangkitkan oleh Audit Negara yang mengatakan negatif (mencatat kerugian) adalah tidak begitu tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Perdana Sungai Besi di sini pagi tadi.

“Ia positif.. jadi kita akan beritahulah mereka (Audit) bahawa kita positif (LTAT).

“Saya tak nak cakap begitu (kesilapan ketua audit negara), tapi saya hanya mahu cakap itu tak tepat.

“Saya akan jelaskan nanti kepada PAC..Dia tak kata akan panggil, dia kata mungkin akan panggil,” tegasnya lagi.

Sebelum ini, PAC memaklumkan akan memanggil pengurusan LTAT susulan pendedahan rizab LTAT berbaki negatif.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, PAC juga tidak menolak kemungkinan memanggil Menteri Pertahanan dalam prosiding tersebut.

Menurutnya, PAC amat bimbang dengan kedudukan kewangan LTAT selepas pendedahan daripada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pada Rabu lalu.

Rabu lalu, LKAN memaklumkan LTAT menghadapi rizab negatif berjumlah RM0.388 bilion pada tahun 2022.

Menerusi LKAN, LTAT tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari berjumlah RM0.812 bilion, iaitu Boustead Holdings Berhad berjumlah RM0.768 bilion dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM0.044 bilion.

Perkara tersebut menyebabkan untung bersih dan pelaburan dalam syarikat subsidiari terlebih nyata berjumlah RM0.812 bilion.

Laporan itu juga menyebut, LTAT telah merekodkan keuntungan bukan tunai sebanyak RM0.189 bilion yang telah digunakan sebagai asas untuk pembayaran dividen tahun 2022 kepada pencarum.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast