Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyantuni pelajar-pelajar Tahun 1 ketika mengadakan Lawatan Kerja sempena Pembukaan Sekolah Sesi Akademik 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan Saujana Putra, Kuala Langat. Foto SYADILA AMARI, 11 MAC 2024.

KUALA LANGAT – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang merangkumi lebih 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Sebaliknya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM terus mempertahankan sistem pendidikan itu selaras dengan Seksyen 28 (penubuhan Sekolah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan), Akta Pendidikan 1996.

“Kita mendengar pandangan tersebut tapi untuk hari ini pendirian KPM adalah untuk berdiri tegak dan memperkukuhkan Akta Pendidikan.

“Sekolah vernakular ini sebagaimana yang saya tegaskan sebelum ini, diiktiraf oleh Akta Pendidikan.

“Kita akan teruskan dengan pendirian tersebut berdasarkan Akta Pendidikan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau melakukan tinjauan dan lawatan kerjanya ke Sekolah Kebangsaan Saujana Putra di sini yang mula beroperasi sepenuhnya sempena Pembukaan Sesi Persekolahan Penggal 2024/2025.

Sabtu lalu, media melaporkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh meminta kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular di negara ini.

Beliau berkata, penilaian itu termasuk dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai kenegaraan dan penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast