Nur Syafiqah dan Muhd Iqmal menerima sumbangan yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UMS, Samasuddin Yusop.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyumbangkan 78 bakul bantuan berisi kit pembersihan diri dan barangan keperluan asas kepada mangsa kebakaran Kg. Tanjung Batu Logpond, Tawau di Dewan Kompleks Sukan Tawau.

Proses serahan sumbangan ini diusahakan oleh Ketua Bahagian Keselamatan UMS, Kolonel (Kes) Abdul Talib Arifin dan barisan pemimpin universiti yang lain.

Kandungan bakul itu merupakan hasil sumbangan Hospital UMS, Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf (CIEW), warga UMS serta pertolongan ikhlas orang awam.

Turut terkesan dalam kebakaran yang berlaku 6 Mac itu ialah dua pelajar UMS iaitu pelajar tahun satu Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Nur Syafiqah Amani  Abri dan pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Muhd Iqmal Hamsah.

Kedua-dua pelajar tersebut telah menerima sumbangan tunai daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) untuk meringankan beban kewangan yang dihadapi.

Semoga bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban mangsa kebakaran terutamanya menjelang bulan Ramadan dan mangsa terus diberikan ketabahan menghadapi ujian ini. – MalaysiaGazette