Onn Hafiz meninjau keadaan CIQ pagi tadi dan telah mengesahkan hampir semua laluan disiru berjalan lancar.

JOHOR BAHRU – Hampir kesemua sistem laluan M-Bije di Zon Motosikal Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar yang sebelum ini terganggu sudah beroperasi semula.

Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mengingatkan pihak bertanggungjawab agar tidak berpeluk tubuh.

” Sehingga jam 6 pagi tadi, hampir kesemua laluan M-Bike telah berfungsi dengan baik. Terima kasih saya ucapkan kepada Menteri Dalam Negeri, KSU, Jabatan Imigesen Malaysia (JIM) dan semua yang terlibat untuk membantu.

“Meskipun isu hampir diselesaikan, itu tidak bermakna kita semua sudah boleh berpeluk tubuh. Semoga komitmen perlu diteruskan dan tahap kesiapsiagaan ditambah baik bagi memastikan operasi keluar masuk sempadan negara sentiasa lancar agar ia dapat menjamin kesejahteraan rakyat dan pengembara,” jelasnya menerusi kenyataan media hari ini.

Onn Hariz turut berharap agar masalah yang berlaku sebelum ini tidak berlarutan.

“Dengan kerjasama daripada semua pihak, pengoperasian yang lebih efisien dan konsisten di tahap maksimum bukan sahaja dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas, malah ia akan memudahkan urusan seharian rakyat.

“Semoga segala usaha bagi melancarkan pergerakan keluar masuk di CIQ BSI ini mampu dilaksanakan dan diurus dengan baik dengan kerjasama daripada semua pihak. Insya-Allah,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, masalah gangguan sistem M-Bike di kededua laluan zon masuk dan keluar bagi pemeriksaan motosikal menyebabkan kesesakan luar biasa di Zon Motosikal ICQ Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh yang melakukan tinjauan di lokasi berkenaan berkata, kejadian gangguan sistem berkenaan berlaku disebabkan kerja penyusunan sistem yang sedang dilaksanakan syarikat pengendali baru, yang dilantik bermula 29 Februari.

Bagaimanapun, dua hari lalu gangguan sistem M-Bike yang menyebabkan kesesakan luar biasa di zon motosikal Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Bangunan Sultan Abu Bakar dapat diatasi.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir ketika dihubungi berkata, sebahagian gangguan yang berlaku sebelum ini telah pun dapat siselesaikan dengan pembukaan 50 kaunter di laluan masuk.- MalaysiaGazette