KUALA LUMPUR – Gara-gara curang, seorang jurugambar bebas mati ditikam teman wanitanya dalam kejadian di Rimbayu Perennia, Kota Kemuning, Shah Alam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima daripada seorang lelaki berumur 32 tahun pukul 9.41 pagi.

“Pengadu yang juga doktor di Hospital Cyberjaya telah menerima seorang pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri yang dibawa dari sebuah klinik swasta.

“Pengadu telah bertindak membuat CPR dalam masa 30 minit ke atas mangsa namun tiada tindak balas dan denyutan dari mangsa.

“Mangsa yang berusia 26 tahun itu kemudian disahkan meninggal dunia pada  7.25 pagi, semalam dengan kecederaan luka tikaman di bahagian pergelangan tangan kiri dan kaki kiri dipercayai ditikam dengan sebilah pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah menahan suspek berusia 26 tahun sekitar  12.30 hari yang sama.

“Hasil semakan mendapati, suspek merupakan bekas pelajar perubatan dan bekerja sebagai model sambilan serta tiada mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Siasatan awal mendapati, punca kejadian akibat cemburu kerana mangsa telah berlaku curang terhadap suspek.

“Dalam kejadian itu, suspek tiada cedera dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” ujarnya.

Tambah Ahmad Ridhwan, wanita berkenaan direman enam hari bermula hari ini sehingga 17 Mac bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Mereka yang mempunyai maklumat diminta hubungi bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222. – MalaysiaGazette