Anggota bomba memadamkan kebakaran yang berlaku melibatkan 15 rumah setinggan di Kampung India Settlement, Kampung Pandan di sini, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 buah rumah di Kampung India Settlement, Kampung Pandan di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.

Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Mustapa Kamal Mohd Arih berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 9.51 malam.

“Seramai 48 anggota dan pegawai bersama sembilan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Hang Tuah, Keramat, Sentul, Bandar Tun Razak dan Cheras bergegas ke lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan 15 rumah setinggan berkeluasan 91.44 meter persegi.

Tambahnya, tiada nyawa terlibat dalam kebakaran berkenaan dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah malam

Punca kebakaran masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette