Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Sebanyak 17,000 bangunan daripada pelbagai kumpulan kegunaan akan diperiksa tahun ini dalam usaha memperkasa program pencegahan kebakaran bagi mengurangkan kerugian kepada ekonomi negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menetapkan sasaran tersebut sebagai satu langkah  meningkatkan tahap ketersediaan sistem pemasangan keselamatan dalam bangunan di negara ini.

“Bagi bulan Januari sahaja, sebanyak 4,027 inap desa atau homestay dan bilik penginapan telah dibuat pemeriksaan penguatkuasaan bahaya kebakaran.

“Begitu juga pada bulan Februari lepas, sebanyak 122 blok di 22 kawasan perumahan awam yang sudah berusia lebih 30 tahun di kawasan Bandaraya Kuala Lumpur turut diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain kebakaran, Kor Ming berkata, aspek pengurusan air juga memainkan peranan penting dalam memastikan kecekapan pengoperasi kebombaan.

JBPM telah berjaya memeriksa 405,529 pili bomba di seluruh negara dan pemeriksaan ini melebihi 100 peratus daripada jumlah keseluruhan pili bomba awam bagi tahun 2023,” ujarnya.

Sehubungan itu, menurut Kor Ming, pada tahun ini kementeriannya melalui JBPM akan meningkatkan kekerapan pemeriksaan ke atas pili bomba awam yang berada dalam radius 7 kilometer daripada balai bomba.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan pili bomba yang telah direkodkan di seluruh negara pada 2023 adalah sebanyak 422,472 unit, kira-kira 357,130 unit adalah pili bomba awam manakala, 65,342 unit pili bomba swasta.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pembangunan projek rintis perintah, kawalan, komunikasi, berkomputer dan perisikan telah dilaksanakan mulai 1 Mac lepas dan dijangka siap pada Februari 2026 dengan kos RM47.74 juta.

Projek rintis itu bagi memperkukuhkan lagi sistem kawal dan perintah inisiden, dan mengaplikasikan penggunaan teknologi terkini, kecerdasan buatan serta mengoptimumkan data raya.

Jelas beliau, projek perintis itu adalah salah satu langkah yang seiring dengan dasar dan usaha pendigitalan kerajaan Madani. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast