Penjawat awam antara empat lagi suspek direman di Mahkamah Putrajaya pagi tadi dalam siasatan kes rasuah tembakau dan arak.-Ihsan SPRM Putrajaya

KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam antara empatĀ  suspek disyaki perantara memberi rasuah bagi pihak sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak melalui pintu masuk negara berjaya direman di Putrajaya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, kesemua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dekat sini pagi tadi sebelum Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga 15 Mac ini untuk membantu siasatan lanjut.

“Keempat-empat suspek lelaki berusia lingkungan antara 30 hingga 50-an telah ditahan kira-kira 4 petang hari ini selepas tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Kesemua suspek ini dipercayai telah menjadi perantara sindiket terbabit untuk membayar wang rasuah kepada penjawat awam di sebuah agensi penguat kuasa bagi memudahkan urusan penyeludupan,” katanya.

Mengulas lanjut, sumber juga menambah wang rasuah daripada sindiket itu dimasukkan ke dalam akaun mereka dan kemudian dipindahkan ke akaun beberapa penjawat awam.

Kesemua suspek direman selepas ditahan dalam operasi khas oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Isnin lalu.

Dalam operasi 11 Mac itu, seramai lapan individu telah ditahan dan empat daripadanya telah direman sejak semalam dalam kes ini.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi hari ini mengesahkan penahanan reman terhadap empat suspek tersebut.

Beliau berkata, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette