Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR – Maxis Berhad (Maxis) mengesahkan hanya portal Maxis Interactive Retail Assistant (M.I.R.A)/ Queue Management System di satu Cawangan atau kedai Maxis terkesan dengan serangan siber R00TK1T ISC Cyber Team.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, sistem itu “standalone” tidak mempunyai sebarang sambungan kepada mana-mana sistem kritikal Maxis.

“Maxis juga telah memberi notifikasi sewajarnya kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) bagi mengesahkan tiada ketirisan data peribadi hasil daripada forensik digital yang telah dilaksanakan.

“JPDP juga telah melaksanakan siasatan susulan daripada notifikasi yang telah diterima daripada pihak Maxis.

“Mereka mendapati tiada data peribadi terlibat berdasarkan sampel data yang telah dikemukakan,” katanya pada sesi jawapan Menteri dalam sidang Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen (Kampar-PH), Chong Zhemin meminta Menteri Digital menyatakan ancaman kumpulan R00TK1T untuk menutup rangkaian Maxis dan sejauh mana syarikat lain juga terlibat.

Selain itu, Kementerian Digital menegaskan aspek keselamatan siber penting dan agensi iaitu CyberSecurity Malaysia, JPDP serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan.

“Ia untuk memastikan keselamatan data
dan juga infrastruktur digital negara selamat.

“Kementerian Digital akan terus bekerjasama dengan NACSA dan agensi siber luar negara untuk menjejak dan mengambil tindakan terhadap pelaku ancaman,” katanya.

Katanya lagi, Kementerian Digital sentiasa komited untuk terus melaksanakan tindakan-tindakan yang perlu, bersama-sama semua pihak berkepentingan.

“Ia dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan siber demi memastikan tahap ancaman keselamatan siber negara adalah dalam keadaan yang terkawal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette