KUALA LUMPUR – Portal MalaysiaGazette menyahut cadangan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh untuk menjadi penganjur bagi membincangkan secara terbuka mengenai isu sekolah vernakular.
Dr Akmal melalui hantaran di Facebook hari ini mengesyorkan MalaysiaGazette menjadi hos selepas menerima undangan ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran untuk duduk bersama-sama membincangkan isu ini.
“Saya mohon juga agar perbincangan ini diadakan secara terbuka dan membolehkan lebih ramai lagi mendengar apa yang akan kita bincangkan memandangkan ini adalah isu nasional.
Isu sekolah vernakukar menjadi perhatian apabila Rajiv Rishyakaran membidas cadangan Dr Akmal agar satu kajian menyeluruh dilakukan ke atas ekosistem pendidikan sekolah vernakular.
Cadangan itu telah ditempelak oleh bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy dan mendakwa Dr Akmal yang juga Exco Melaka itu keliru berhubung isu polarisasi kaum apabila mendakwa sekolah vernakular sebagai punca masalah terbabit.
Selain Rajiv, Dr Akmal turut dicabar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy untuk berdebat isu sekolah vernakular.- MalaysiaGazette