Logendran (atas) dan Nathan dikehendaki bagi memberi keterangan kes dadah di Mahkamah Kuala Lumpur.- Gambar ihsan IPK KL.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan dua individu warga tempatan untuk membantu perbicaraan kes mahkamah di ibu negara.

Pegawai Pusat Media Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Inspektor Mazliyana Abd Latiff berkata, kedua-duanya dikehendaki oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

“Dua individu yang dikehendaki polis adalah Logendran Parkunan berusia 37 tahun dan Nathan Ramasamy pula 39 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alamat terakhir Logendran adalah di Blok A-2-6, Jaklan Mewah, Pandan Mewah, Ampang, Selangor diikuti Nathan di 61, Jalan Merpati 8, Bandar Puchong Jaya, Puchong.

Tambah Mazliyana, kedua-dua individu itu diperlukan untuk hadir memberi keterangan di Mahkamah Majistret Jenayah 7, Aras 5, Sayap Kiri, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bersabit kes Brickfields yang disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua individu itu boleh menghubungi Inspektor Mohd Izar Hijjaz Mohd Hashim di talian 012-452 1947.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat mereka menerusi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau tampil kemana-mana balai polis yang berhampiran.-MalaysiaGazette