Razali Kassim ditemui ketika Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Tapak Bazar Ramadan Mahkota Square Bandaraya Kuantan hari ini

KUANTAN – Sebanyak 52 notis dikeluarkan kepada pengendali makanan dan peniaga bazar di Pahang dalam tempoh dua hari.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Ir Razali Kassim berkata, kesemua yang menerima notis berkenaan dikompaun berjumlah RM5,950 itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Daerah.

Menurutnya, sebanyak 526 gerai di bazar Ramadan seluruh Pahang telah diperiksa yang mana Pekan mencatat pengeluaran  notis tertinggi sebanyak 27 notis.

“Antara kesalahan yang dikesan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983 ialah kesalahan di bawah Peraturan 32 iaitu pengendali makanan tidak memakai topi, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan serta Peraturan 33 iaitu pengendali memakai perhiasan diri seperti jam tangan, cincin dan gelang ketika mengendalikan makanan.

“Selain itu, terdapat juga kesalahan di bawah Peraturan 30 iaitu pekerja tidak menghadiri kursus pengendali makanan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Tapak Bazar Ramadan Mahkota Square Bandaraya Kuantan, hari ini.

Ir Razali Kassim

Menurut Razali, meerka masih lalai dalam memastikan keperluan-keperluan sebagai pengendali dan pengusaha bazar dipatuhi walaupun taklimat dan makluman telah diberikan setiap tahun sebelum beroperasi.

Tambah beliau, pendakwaan akan dikenakan kepada penjual makanan yang melanggar Akta Makanan 1983 yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu katanya, Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah akan menjalankan Operasi Ramadan yang melibatkan pemeriksaan gerai di bazar Ramadan dan pensampelan makanan di 85 lokasi membabitkan 4,007 gerai.

Beliau berkata, pada minggu pertama Ramadan sebanyak 24 sampel makanan diambil dan dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pahang bagi analisis mikrobiologi.

“Keputusan bagi 24 sampel tersebut belum diterima. Pensampelan makanan dan pemeriksaan premis makanan akan  diteruskan pada minggu-minggu berikutnya sepanjang bulan Ramadan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast