Vios merah dan pemandunya diburu polis kerana memandu secara merbahaya dan melanggar lampu isyarat sebelum mengakibatkan kemalangan dengan motosikal di Jalan Kapar dalam kejadian 12 Mac lalu. - Ga,bar ihsan IPD Klang Utara.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu sebuah kereta yang dipandu secara melulu sehingga mengakibatkan kemalangan jalan raya dalam kejadian pada 12 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao berkata, satu video tular  berdurasi satu minit 40 saat berkaitan kejadian itu telah dikesan dimuat naik di laman Facebook.

Pengamatan terhadap video itu mendapati ia memaparkan sebuah kereta dipandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan di Batu 2, Jalan Kapar di Klang.

“Hasil siasatan awal dijalankan, polis mendapati kejadian kemalangan dipercayai berlaku pada 12 Mac lalu jam lebih kurang 4 petang yang mana lelaki bangsa tidak pasti telah memandu kereta jenis Toyota Vios berwarna merah secara melulu, merbahaya dan melanggar lampu isyarat.

“Tindakan pemandu itu kemudian mengakibatkan berlaku kemalangan dengan sebuah motosikal yang datang dari arah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rentetan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan dan menyiasat kemalangan itu di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut, bolehlah menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-584 3860. – MalaysiaGazette