Foto Facebook Perlis United FC.

KUALA LUMPUR – Kelab Perlis United dilaporkan telah membuat pusingan-u dan menarik diri daripada menyertai Liga Super musim ini.

Kelab itu dikatakan telah menghantarkan surat kepada MFL dengan menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada menjadi kelab Liga Super kerana faktor kewangan.

Sebelum ini, Perlis United dilaporkan mempunyai dana berjumlah RM25 juta untuk bertanding dalam Liga Super.

Namun begitu, nilai itu seakan-akan tidak ada kerana faktor penajaan yang satu demi satu menarik diri.

Ia dilaporkan berpunca daripada salah faham akibat surat sokongan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang menyatakan sokongan terhadap kelab tersebut.

Dalam surat itu, Shukri menyatakan sokongan terhadap usaha Perlis United untuk menyertai Liga Super.

Namun begitu, sokongan tersebut hanya terhad kepada dorongan secara moral sahaja.

Ia tidak tertakluk kepada sokongan dalam bentuk kewangan oleh pihak Menteri Besar dan kerajaan negeri.

Disebabkan itu, penaja-penaja yang dilaporkan akan menyertai kelab tersebut memilih untuk menarik diri.

Sementara itu, kelab Liga M3 dikatakan akan menyertai Liga Super untuk menggantikan Kelantan FC yang diturunkan pangkat ke liga bawahan.

Keputusan itu nyata bukan cakap-cakap kerana ia turut disahkan oleh badan penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) yang Perlis United bersedia untuk bersaing dengan kelab handalan seperti Johor Darul Ta’zim, Selangor FC dan Terengganu FC. – MalaysiaGazette