SHAH ALAM – Sebanyak RM69.5 juta daripada RM400 juta akan diperuntukkan untuk menyelenggara dan naik taraf kuarters bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di seluruh negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerja-kerja naik taraf telah bermula dan dijangka selesai tahun ini.

“Untuk di TUDM sahaja, sebanyak 65 rumah yang terlibat dinaik taraf dan diselenggara melibatkan kos RM7 juta. Jumlah keseluruhan rumah di sini ada 185,” katanya selepas melawat Tapak Penyelenggaraan, RKAT Blok G2 hari ini.

Ujar Mohamed Khaled, kerajaan menumpukan perhatian untuk memastikan kesejahteraan dan kebajikan anggota tentera sentiasa terjaga.

“Kita beri perhatian serius soal ini kerana kita percaya ia membantu kesejahteraan anggota, itu sangat penting apatah lagi melibatkan soal rumah.

“Dengan rumah sempurna, anggota boleh bina keluarga bahagia dan dalam jalankan tugas,” katanya.

Sebagai rekod, Belanjawan 2024 memperuntukkan RM400 juta untuk membaik pulih dan menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara.- MalaysiaGazette