Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika melakukan walkabout di Bazar Ramadan Presint 3 di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Sejumlah 70,334 pengusaha gerai di 1,299 tapak bazar Ramadan di seluruh negara telah diberikan taklimat kebersihan premis makanan dan pengendalian makanan yang selamat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sejumlah 183 sesi taklimat telah diadakan bagi tujuan tersebut.

Selain itu, sebanyak 324 buah premis penyediaan makanan termasuk kilang ais juga telah diperiksa di semua negeri bagi memastikan tidak berlaku pencemaran makanan.

Katanya, pemeriksaan premis makanan yang dijalankan sebelum Ramadan juga meliputi premis yang menyediakan bufet berbuka puasa seperti restoran dan hotel.

Menurutnya, KKM telah memulakan aktiviti pemantauan bazar Ramadan sejak bulan Februari melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Pada tahun 2024 ini, KKM melalui PKKM akan terus menggiatkan kempen keselamatan makanan yang menyeluruh bagi memastikan pengendali makanan mengamalkan amalan pengendalian makanan yang baik dan bersih.

“Seterusnya menghasilkan makanan yang dijual di nazar Ramadan adalah selamat dan berkualiti merangkumi platform media sosial dan media massa,” katanya dalam sidang media.

Beliau sebelum itu menyempurnakan Pelancaran “Kick-Off” Ops Kebersihan Dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2024 di Bazar Ramadan Presint 3 di sini hari ini.

Menurutnya, pemantauan secara sistematik di sepanjang rantaian makanan meliputi pemeriksaan premis pembekal bahan mentah termasuk kilang ais dan premis penyediaan makanan bagi peniaga yang telah dilesenkan oleh PBT.

Pemeriksaan ke atas pengendali makanan juga dijalankan bagi memastikan semua pengendali telah mengikuti Latihan Pengendali Makanan dan mengambil suntikan anti tifoid.

Ini bagi memastikan makanan yang disediakan dan dijual adalah selamat dan mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Sementara itu beliau menasihatkan pengguna supaya mengamalkan ‘perhati dan pilih’ ketika membeli juadah dan hanya membeli makanan di premis yang bersih serta mengutamakan keselamatan dan kualiti makanan.

“Kalau kita pengguna tidak mahu tekankan kebersihan, pengendali tidak akan (menghiraukan kebersihan). Tetapi bila berkehendakan yang bersih dan dan kualiti maka pengendali akan menghormati kita.

“Tapi kalau kita ikut dan sahaja sebab sudah lewat, apa sahajalah yang dibakar, yang digoreng dibeli. Dengan itu peniaga tidak akan menghormati pelanggan,” kata beliau dalam sidang media.

Menurutnya, pengguna juga harus mengamalkan ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum menjamah juadah berbuka puasa sebagai langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan. -MalaysiaGazette