Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A. A. Anbalagan. Foto WAN NABIL NASIR, 17 DISEMBER 2023.

SERDANG – Baru 20 hari keluar dari penjara selepas menjalani hukuman sembilan bulan kerana disabitkan kesalahan samun ternyata tidak memberi kesan kepada seorang bekas banduan.

Malah kali ini lelaki itu diberkas polis semula selepas meragut seorang wanita yang berjalan kaki di jalan raya dalam kejadian di Bandar Puchong Jaya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, suspek yang baru bebas daripada Penjara Kajang itu terlibat dalam jenayah ragut berhampiran Jalan Merak, Bandar Puchong Jaya pada 26 Februari lalu.

“Dalam kejadian 10.30 pagi itu suspek bersama seorang lagi rakan jenayah dikenali sebagai Geng Kabil telah meragut beg tangan seorang wanita berusia 58 tahun yang sedang berjalan kaki.

“Bagaimanapun, rakaman kamera litar tertutup yang ada di lokasi kejadian berjaya membongkar perlakuan jenayah suspek berusia 33 tahun itu,” katanya dalam sidang media khas kejayaan di IPD Serdang hari ini.

Tambah Anbalagan, bertindak atas laporan polis telah berjaya menangkap suspek dan juga rakan suspek berusia 27 tahun pada Isnin pukul 2.30 petang di Bandar Kinrara.

Ujarnya, polis juga tidak menolak kemungkinan suspek kembali melakukan jenayah disebabkan tiada pekerjaan tetap dan memerlukan duit bagi mendapatkan bekalan dadah.

“Semakan uga mendapati suspek memiliki dua rekod kesalahan lampau dadah serta dua rekod jenayah manakala ujian saringan air kencing suspek juga mengesahkan positif dadah jenis ganja, methamphetamine serta amphetamine.

“Suspek juga menerusi soal siasat awal polis telah mengaku turut melakukan kegiatan ragut di Bandar Sunway, Subang Jaya.

“Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 18 Mac ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan samun bersenjata secara berkumpulan,” ujarnya.

Jika disabitkan bersalah boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.- MalaysiaGazette