Penguatkuasa KPDN memeriksa minyak peket di sebuah premis syarikat pembungkusan di Balakong, baru-baru ini.

SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan tiada tulisan ‘non halal’ ditemui pada peket minyak masak di sebuah premis syarikat pembungkusan di Balakong seperti video yang tular di media sosial.

Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pemeriksaan fizikal telah dilakukan ke atas premis itu pada Isnin lepas.

Katanya, hasil pemeriksaan pada bungkusan minyak masak itu didapati tiada logo halal dan penandaan halal digunakan.

“Semakan juga mendapati tiada tulisan ‘non halal’ ditemui di mana-mana paket minyak masak yang siap dibungkus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Zuhairi, tindakan pihak syarikat tidak meletakkan logo halal pada bungkusan minyak masak adalah disebabkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) syarikat telah tamat tempoh.

Jelasnya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga sebelum ini mengambil tindakan kes di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 ke atas syarikat pembungkusan itu kerana menggunakan logo halal Malaysia tanpa kebenaran pihak berkuasa berwibawa sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, syarikat pembungkusan itu memperoleh bekalan daripada pengilang minyak masak yang sah dan berlesen.

Tegasnya, KPDN Selangor ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

Tambah beliau, jika disabit kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan2011 [Akta 730] boleh didenda tidak lebih RM200,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM500,000 bagi pertubuhan atau perbadanan.

“Bagi bukan pertubuhan atau perbadanan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sebelum ini tular mengenai minyak masak peket bersubsidi ‘non halal’ yang didakwa banyak dijual di kedai runcit sekaligus menggusarkan umat Islam yang menggunakannya. – MalaysiaGazette