Anggota bomba memadam bahagian atas banglo dua tingkat yang terbakar di Damansara Utama awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri maut dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah banglo dua tingkat di Damansara Utama, Petaling Jaya awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihak bomba menerima panggilan awam kira-kira jam 5 pagi dan bergegas ke lokasi kebakaran.

Menurutnya, 70 peratus rumah tersebut terbakar, melibatkan bilik utama tingkat atas dan bahagian dapur rumah tersebut.

Pihak bomba dimaklumkan tiga mangsa sekeluarga telah terperangkap dalam rumah tetapi hanya seorang mangsa iaitu remaja perempuan berjaya diselamatkan.

Kedua-dua mangsa akhirnya berjaya ditemui oleh pasukan Bomba, namun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Pasangan suami isteri yang maut itu dikenalpasti sebagai Kang Tsi Yam, 61 tahun dan isterinya Leong Che Mun, 55.

Punca kebakaran masih dalam siasatan bomba. – MalaysiaGazette