Fadhlina Sidek ketika berucap di Konvensyen Kebangsaan Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual hari ini.

KUALA LUMPUR – Guru-guru yang terlibat melakukan gangguan seksual di sekolah tidak akan terlepas daripada tindakan tegas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Amaran itu dikeluarkan oleh menterinya, Fadhlina Sidek ketika berucap di Konvensyen Kebangsaan Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual hari ini.

Tegas beliau, peringatan itu perlu benar-benar disampaikan secara jelas dalam kalangan guru-guru bagi memastikan sekolah sentiasa menjadi tempat yang selamat untuk murid-murid.

“Saya nak bagi amaran hari ini. Dalam institusi pendidikan, ‘You touch, you go’. Kita mesti bagi penekanan itu supaya mereka faham bahawa kita serius dalam memastikan kes-kes ini tidak berlaku dalam sekolah kita,” katanya.

Tambah Fadhlina, KPM mengambil tanggungjawab dan komitmen yang tinggi dalam memastikan gangguan seksual di sekolah dapat ditangani sepenuhnya.

Sehubungan itu Fadhlina berkata, kementerian tersebut menyediakan garis panduan bagi menangani gangguan seksual yang perlu dipatuhi oleh para pendidik.

Pada masa sama, guru-guru juga perlu berani membuat laporan sekiranya terdapat kes gangguan seksual yang berlaku di sekolah, ujar beliau.

“Sebab itu kita minta guru-guru kita bersedia mesti dilatih, diberi bimbingan, keyakinan untuk melaporkan sekiranya kes-kes ini berlaku di dalam sekolah masing-masing,

“Komitmen kita juga berlangsung dalam konteks sukan, sebab itu kod sukan selamat yang kami lakukan bersama Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) adalah menjadi teras anak-anak kita selamat ketika menjalankan aktiviti-aktiviti yang terkait dengan sukan,” katanya.

Selain itu, guru-guru sentiasa memberi peringatan tentang keselamatan khususnya melibatkan gangguan seksual di sekolah kepada para pelajar dan masyarakat.

“Kita kena sentiasa latih guru-uru menjadi advocater, inilah guru-guru yang kita nak, sentiasa ingatkan tentang keselamatan, ingatkan tentang sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat,” tambah beliau.

Selain itu, menurutnya, KPM akan memastikan bilangan guru kaunseling di setiap sekolah ditambah untuk pembentukan sasiah pelajar.

“Saya sudah bincang dengan Ketua Pengarah Pendidikan supaya bilangan guru kaunseling sentiasa dapat perhatian daripada pihak berkuasa, supaya dapat dilatih lebih ramai (guru kaunseling).

“Ketika ini kita berjaya menambah guru kaunseling untuk murid berkeperluan khas. Murid-murid ini sentiasa dekat di hati kita sebab itu komitmen bahagian keperluan khas  mesti ada juga guru kaunseling dalam menangani gangguan seksual dalam kalangan mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette