Gambar hiasan

AMPANG – Seorang wanita Indonesia adik dan ibunya melalui detik cemas selepas dibelasah oleh lelaki dari negara sama ketika sedang menunggu di perhentian bas, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis telah menerima laporan polis daripada mangsa mengenai kejadian yang berlaku di Taman Kosas, Ampang di sini.

Pengadu mendakwa dia dan dua anaknya telah dipukul dan dicederakan semasa menunggu untuk bas kira-kira jam 2.30 petang itu.

“Tiba-tiba dia dihampiri suspek dengan sebatang besi sebelum memukul ketiga-tiga mangsa,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Ekoran insiden itu, ketiga-tiga mangsa mangsa cedera di kepala, muka, tangan, dan lain-lain tidak pasti.

Mohd Azam berkata, bertindak atas laporan polis, jam lebih kurang 3.45 petang sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Ampang Jaya telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki bertanggungjawab terhadap jenayah tersebut.

Suspek berusia 39 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai di Taman Kosas ditahan dan batang besi yang dipercayai digunakan olehnya semasa kejadian juga dirampas.

“Semakan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah kesalahan lampau selain ujian air kencing juga negatif dadah.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang dan dibenarkan direman selama empat hari bermula sehingga esok bagi membantu siasatan lanjut polis,” katanya lagi.

Siasatan lanjut mendapati motif kejadiannya disebabkan perselisihan kerja yang berlaku antara pengadu dan suspek.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana mana dua daripada hukuman berikut.- MalaysiaGazette