Mohd Na'im Mokhtar

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meminta umat Islam di negara ini bertenang dan memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa menyiasat isu penjualan stokin tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka KK Mart.

Beliau berkata, pihak polis, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca, pihak yang bertanggungjawab selain niat di sebalik perbuatan itu.

“Saya rasa sedih dan dukacita dengan apa yang berlaku. Kita berada dalam bulan Ramadan, ada yang menyatakan jangan terlampau sensitif dengan isu Allah letak di stokin tetapi ini tidak boleh (dibiarkan).

“Allah ini satu kalimah yang sangat tinggi di mata orang Islam. Allah adalah pencipta kita dan perbuatan meletakkan Allah di kaki adalah satu penghinaan yang tidak boleh kita remehkan,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdulaziz Al-Saud di sini hari.

Beliau berkata, walaupun pihaknya sudah menerima surat permohonan maaf daripada KK Mart, Jakim telah diarah memanggil wakil pengurusan syarikat itu untuk berbincang dan membantu siasatan bagi memastikan insiden khianat sedemikian tidak berulang.

“Kemaafan itu seperkara tetapi yang pastinya kita harap pada masa hadapan, KK Mart tidak ambil remeh  tentang perkara sebegini dan mana-mana jabatan audit perlu tengok dahulu barang yang dibawa masuk.

“Perkara sensitif susah nak dimaafkan. Diharap KK Mart dan pemborong serta penjual lain harus mengambil iktibar dengan apa yang berlaku. Ia sangat sensitif, kena beri ruang kepada umat Islam (untuk memaafkan perbuatan ini),” katanya.

Sebelum ini, tular gambar stokin tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial sejak 13 Mac lepas.

Semalam, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart Datuk Seri Dr KK Chai tampil memohon maaf. – Bernama