Keadaan selepas kebakaran dipadamkan anggota bomba di Bukit Broga, Semenyih. Foto SYADILA AMARI, 18 MAC 2024

KUALA LUMPUR- Kebakaran di hutan Bukit Broga, Semenyih dekat sini sejak semalam telah berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, api berjaya dikawal dan kebakaran telah dipadam sepenuhnya pukul 2.30 pagi sebelum operasi pemadaman ditamatkan tepat pada 3.30 pagi tadi.

Katanya, seramai 28 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih, BBP Bangi dan BBP Ampang telah terlibat dalam misi memadam kebakaran hutan di Bukit Broga itu.

“Pemeriksaan awal bomba mendapati kebakaran itu melibatkan kawasan hutan di atas puncak Bukit Broga melibatkan tanah seluas lima ekar (dua hektar).

Kebakaran hutan di Bukit Broga berjaya dipadam sepenuhnya sekitar jam 2.30 pagi Isinin menurut Bomba Selangor hari ini.Ihsan Bomba Selangor

“Siasatan lanjut mendapati kebakaran mudah merebak ke beberapa tompok api disebabkan tiupan angin di sekitar kawasan bukit,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Md Razali menambah, bomba yang tidak mempunyai akses masuk kenderaan ke lokasi kebakaran itu telah menyebabkan anggotanya terpaksa memanjat ke puncak bukit yang memakan masa kira-kira 30 ke 45 minit untuk sampai ke lokasi kebakaran.

Kebakaran hutan di Bukit Broga berjaya dipadam sepenuhnya sekitar jam 2.30 pagi Isinin menurut Bomba Selangor hari ini.- Gambar ihsan Bomba Selangor.

“Kemudian pemadaman api telah giat dilakukan dengan menggunakan fire beater berikutan ketiadaan sumber air di puncak bukit itu.

“Tindakan operasi ini dilaksanakan untuk menyekat sepenuhnya api daripada merebak di sekitar kawasan bukit selain memadamkan kebakaran itu sepenuhnya,” ujarnya.

Sebelum ini, Bomba Selangor telah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kebakaran hutan itu pukul 7.39 malam sebelum sepasukan anggota bersama satu jentera dari BBP Semenyih dikejarkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.

Kawasan hutan yang terbakar dianggarkan berkeluasan 0.8 hektar dan kerja memadam kebakaran giat dijalankan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast