PUTRAJAYA – Perdana Menteri menyifatkan lawatan rasmi beliau ke Jerman amat luar biasa dan terbaik.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, layanan yang diterimanya ketika lawatan selama enam hari itu amat baik yang pernah dicatatkan oleh Malaysia.
“Saya syukur kerana sambutan luar biasa, terbaik yang pernah kita catat sebelum ini. Ini bukan soal Anwar sebab sebelum itu mereka tahu tentang pentadbiran kita.
“Usaha jabatan-jabatan sebaik MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dan Kementerian Luar (Negeri) dan kementerian yang telah membuat persiapan awal, sebab itu selalu insaf bahawa kerjasama sepasukan pasukan awam amat penting kerana keyakinan mereka.
“Sekarang bila dia nilai, mereka kata Malaysia jauh lebih cekap, keputusan lebih cepat dan tidak berlaku ketirisan,” katanya dalam ucapan sempena perjumpaan beliau bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan Seri Endon hari ini.
Hadir sama adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali.
Semalam, Anwar menyifatkan lawatan rasmi selama enam hari ke Jerman berjaya mengukuhkan persahabatan yang sedia erat antara kedua-dua negara.
Anwar yang tiba di Berlin, ibu negara Jerman pada 10 Mac lalu berkata, lawatan itu juga berjaya meningkatkan kerjasama perdagangan dan peluang pelaburan untuk Malaysia.
Semasa di Berlin, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat beliau Canselor Olaf Scholz, Naib Canselor Jerman merangkap Menteri Ekonomi dan Tindakan Iklim Robert Habeck, selain mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier.
Turut serta dalam lawatan ke Jerman ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Anwar turut mejelaskan para pelabur yang ditemui beliau ketika sesi lawatan rasmi itu turut berkata, mereka senang dengan dasar yang diamalkan dan memuji perkhidmatan oleh kakitangan awam negara.
“Pandangan mereka dengan dasar negara dan penjawat awam sangat positif dan saya nak ambil peluang ini bahawa saya bangga berkhidmat dengan sembang penjawat awam yang sedemikian kerana kesannya luar biasa.
“Saya tidak menambah dan ramai juga yang menteri ada bersama saya pada masa itu, mereka dengar sendiri, saya provokasi macam mana ada masalah atau tidak, kena bagi komisen dan dalam perbincangan tertutup itu mereka berikan jawapan yang sangat melegakan saya dan kalau inilah semangat kita, kita boleh lonjakkan ekonomi kita, saya yakin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette