Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

SEPANG – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan kerajaan menandatangani perjanjian baharu yang akan melanjutkan pengurusan lapangan terbang syarikat itu sehingga 11 Februari 2069 berbanding perjanjian sebelum ini berakhir pada 2034.

MAHB dalam satu kenyataan memaklumkan, ia termasuk perjanjian operasi (OA) untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan perjanjian berasingan untuk lapangan terbang yang telah ditetapkan bagi memastikan perkhidmatan ditawarkan lebih baik.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Mohamed Rastam Shahrom berkata, OA baharu itu menawarkan fleksibiliti kepada mereka untuk meneruskan pelaburan strategik dalam meningkatkan kapasiti, kemudahan dan infrastruktur.

“Syarat baru ini berikan fleksibiliti untuk kita melabur secara strategik dalam pembangunan dan pemodenan lapangan terbang mengikut keperluan dan ia juga boleh kurangkan beban kewangan terhadap kerajaan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian yang dimeterai di Hotel Sama-Sama, KLIA hari ini.

Pemeteraian itu sekali gus menandakan penerusan MAHB untuk kekal beroperasi, mengurus, menyelenggara dan membangunkan lapangan terbang dan Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLports).

Selain Terminal 1 KLIA, MAHB turut mengendalikan Terminal 2 (KLIA 2), pangkalan utama syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dan lebih tiga dozen lapangan terbang yang lebih kecil di negara ini.

OA sedia ada telah dimeterai pada Februari 2009 yang berkuat kuasa selama 25 tahun sehingga 11 Feb 2034, namun pada 12 April 2019, kerajaan telah meluluskan lanjutan konsesi MAHB untuk mengendalikan 39 lapangan terbang di negara ini sehingga 2069.

Sehingga kini, MAHB telah menyumbang RM42.9 bilion kepada kerajaan antaranya melalui kos pembangunan lapangan terbang dan pembayaran dividen kepada pemegang saham. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast