Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harga jualan runcit beras putih import (BPI) turun di antara RM2 hingga RM3 di pasaran berkuat kuasa esok, 20 Mac 2024.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan itu dimuktamadkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), hari ini.

Menurut beliau, pelarasan ini merupakan langkah intervensi yang dilaksanakan oleh KPKM bagi menangani isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) di pasaran susulan pelarasan BPI oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) pada September 2023.

“Kerajaan optimis inisiatif ini dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup terutama semasa bulan Ramadan dan musim perayaan bakal menjelang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi meningkatkan pengedaran BPT di pasaran, semua stok semasa padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang sebanyak 140,000 tan metrik dapat diproses dan dikeluarkan serta-merta.

Mohamad berkata, kerajaan juga bersetuju agar semua kontrak kerajaan mengguna pakai sepenuhnya BPI.

Melalui kaedah ini, katanya, bekalan tambahan BPT sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan sepenuhnya dalam pasaran mulai bulan depan.

“Kesemua langkah ini akan dapat meningkatkan ketersediaan bekalan beras kepada rakyat melalui jualan BPI pada harga yang lebih rendah serta pertambahan BPT dalam pasaran,” ujar beliau.

Menteri menambah, KPKM akan meningkatkan penguatkuasaan melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) seluruh negara.

Dalam pada itu, KPKM juga akan meneruskan perbincangan bersama semua pemegang taruh untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang bagi struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik.

Ini bagi memastikan industri padi dan beras adalah mampan terutama dalam menjaga kepentikan dan kebajikan pesawah serta meningkatkan produktiviti pengeluaran beas negara.

“Sesungguhnya keputusan ini mencerminkan komitmen utuh Kerajaan Madani menjaga kebajikan rakyat, seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara,” tambah Mohamad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast