KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) perlu bertindak proaktif dan bukannya reaktif berhubung isu kalimah Allah pada stoking yang dijual di kedai serbaneka baru-baru ini.
Aktivis Politik, Shahir Adnan berkata, kementerian berkenaan juga perlu menggubal akta berkaitan sensitiviti agama yang digunakan pada sesuatu produk bagi mengelak perkara sama berulang.
“KPDN dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa untuk menggubal peruntukan undang-undang dalam Akta Perihal Dagangan 2011 dengan memperketatkan peruntukan berkaitan penjualan barangan melibatkan sensitiviti agama Islam di negara ini.
“Setuju dengan cadangan Ahli Parlimen Jerantut dari Pas (Ir Khairil Nizam Khirudin) berhubung perkara itu sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Shahir, tidak wajar untuk menormalisasikan tindakan membuat salah dan kemudian meminta maaf lebih-lebih lagi dalam hal berkaitan agama.
Katanya, banyak isu seperti itu telah berlaku sebelum ini dan ia amat mengguris hati umat Islam di Malaysia.
“Semangat Madani seharusnya menjaga hati rakyat Malaysia…isu berkait kaum dan agama perlu dihindari terutama ketika bulan Ramadan,” ujartnya.
Dalam pada itu, Shahir bersetuju dengan tindakan tegas yang ditunjukkan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh apabila menggesa orang ramai memboikot kedai serbaneka terbabit.
Katanya, Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming perlu bersikap matang dan bukannya mengambil langkah membabi buta untuk cuba senyapkan suara Pemuda UMNO berhubung perkara itu.
“Rakyat Islam perlu tunjukkan sikap tegas dengan memboikot KK Mart supaya ia menjadi pengajaran kepada pengusaha kedai yang lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette