Home Politik Kita tidak mahu minta maaf kira selesai – Pemuda UMNO Pahang

Kita tidak mahu minta maaf kira selesai – Pemuda UMNO Pahang

KUANTAN – KK Mart perlu membuat permohonan maaf kepada seluruh umat Islam di negara ini dengan menggantung banner di 881 cawangannya jika tidak mahu diboikot.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mustaqim Zakaria berkata, itu adalah pendirian tegas daripada sayap parti itu.

Menurutnya, permohonan maaf tanpa tidakan jelas menunjukkan sekadar memperolok-olokkan ungkapan maaf kepada isu yang telah mengguris hati dan sensitiviti umat Islam.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berpendirian tegas menuntut 881 KK Mart seluruh negara menaikkan banner permohonan maaf kepada umat Islam di seluruh negara.

“Ini kerana tindakannya menjual stoking kalimah Allah memberi impikasi sangat besar kerana menggugat keharmonian Islam dan orang Melayu.

“Kita tidak mahu pihak yang terlibat memperolokkan maaf, kita mahu ada tindakan memberikan pengajaran kepada pihak ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mustaqim berkata, Pemuda UMNO Pahang mewakili 14 Bahagian bersama 40 Pemuda UMNO telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan malam tadi bagi menzahirkan keseriusan berhubung isu berkenaan.

Tambahnya, tindakan itu bagi memastikan agama Islam terus diperkasakan dengan melindungi agama Islam sebagai agama rasmi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mustaqim juga mahu pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci dan seadilnya bagi mengenal pasti siapa dalang hingga tercetuskan perkara ini.

“Kita harap pada kali ini, maaf bukan sekadar di bibir, berlaku sesuatu kemudian mohon maaf.. hari ini buat, minta maaf kira selesai, kita tidak mahu perkara tersebut berlaku lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette