KPDN Pulau Pinang merampas 268 topi keledar Arai yang dipercayai tiruan.

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 268 unit topi keledar jenama Arai tiruan di sebuah premis di sini, semalam .

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, serbuan yang dijalankan pihaknya bersama wakil pemilik hak cipta jenama berkenaan membawa kepada rampasan keseluruhan topi keledar bernilai RM70,240.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut mendapati topi keledar itu berjenama TSR, namun mengandungi tanda karya seni Arai membabitkan pelbagai model antaranya Nakano Shukiken Silver, Black Samurai dan Oriental Blue.

Kesemua rampasan dibuat susulan melanggar Akta Hak Cipta 1987.

“Kesemua topi keledar itu kita sita bagi tindakan lanjut susulan melanggar Akta Hak Cipta 1987 yang mana boleh didenda tidak lebih RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika disabit bersalah.

“Bagi kesalahan berikutnya, pihak terbabit berdepan didenda sehingga RM40,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan media.

Rampasan itu dilakukan di sebuah premis di Bukit Mertajam.

Sehubungan itu, KPDN Pulau Pinang memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette