Superintendan Ashari Abu Samah

KUALA LUMPUR – Misteri bau busuk di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, sejak beberapa hari lalu membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga asing, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan awam mengenai bau busuk itu pada jam 10.50 malam semalam.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota polis dari IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Wangsa bersama Unit Forensik IPK (Ibu Pejabat Kontijen) Kuala Lumpur dan dibantu oleh Balai Bomba Jalan Dato Keramat telah pergi ke tempat kejadian.

“Siasatan polis di lokasi mendapati menemui mayat seorang lelaki bukan warganegara terbaring di belakang pintu masuk kediaman
dalam keadaan leher terjerut dan tergantung di tombol pintu.

“Mangsa disyaki warga Australia yang berusia 48 tahun disahkan telah meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Kuala Lumpur yang hadir di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan mendapati mangsa disyaki telah meninggal dunia lebih daripada lima hari dan tiada unsur jenayah ditemui polis pada anggota simati.

Menurut Ashari, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Jabatan Siasatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan mengenalpasti punca kematian dan kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR).

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian iitu diminta menghubungi Ketua Polis Balai Pudu Inspektor Fitri Farhan Wan Chik di talian 03-93899222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette