Pegawai Penguatkuasa KPDN melakukan pemeriksaan bekalan barangan dan barangan dalan Ops Pantau 2024 di pasaraya seluruh kawasan dalam negeri ini

KUANTAN – Sebanyak 1,619 premis terlah diperiksa dalam Ops Pantau 2024 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Pahang.

Pemeriksaan dijalankan di bazar Ramadan dan Aidilfitri, pasar awam, pasar raya, premis yang menyediakan buffet Ramadan termasuk aktiviti penjualan atas talian yang menjadi tumpuan masyarakat.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, seramai 137 anggota penguat kuasa di seluruh negeri digerakkan bagi melaksanakan penguatkuasaan bersasar sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan hari raya nanti.

“Pemeriksaan berkuatkuasa sejak 1 Ramadan lalu, memberikan fokus ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barangan, harga barangan, jualan murah, penggunakan alat timbang, penjualan barang tiruan dan kepatuhan halal.

“Ia dilakukan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuatkuasa terutama sepanjang Bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebanyak enam aduan telah diterima dan disiasat oleh KPDN Pahang berkaitan isu harga, keberadaan bekalan barangan keperluan pengguna, penggunaan alat timbang dan sukat, perihal halal dan barang tiruan.

Manakala empat tindakan kes ke atas peniaga di bawah kesalahan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.

Pihak KPDN turut memberi amaran ke atas peniaga bagi memastikan tanda harga barangan jualan dipamerkan dengan jelas dan mudah dilihat oleh pengguna.

Selain itu pihaknya menjalankan operasi bersepadu bersama agensi dan jabatan penguatkuasaan lain sepanjang pelaksanaan antaranya Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat KesihatanDaerah, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SKM). – MalaysiaGazette