Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit berada pada kedudukan pertama berbanding sembilan negara serantau lain selepas langkah-langkah koordinasi antara kerajaan, Bank Negara Malaysia (BNM) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilaksanakan pada Februari lepas.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Jawatankuasa Pasaran Kewangan, BNM pada 1 Mac lepas menyatakan terdapat kesan yang serta-merta terhadap aliran pasaran dan peningkatan minat pasaran terhadap ringgit.

“Kerajaan komited dalam memastikan prestasi nilai ringgit berada pada tahap lebih baik dan mengukuh,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang meminta Menteri Kewangan menyatakan strategi dasar jangka pendek untuk menguruskan rintangan ekonomi bagi mendepani kejatuhan nilai ringgit.

Katanya antara langkah segera yang telah diambil ialah BNM sentiasa memastikan pasaran pertukaran asing dalam negeri kekal teratur dan mengekalkan kestabilan kewangan.

“BNM juga terus memantau pasaran kewangan dan mengambil langkah perlu termasuk campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang berlebihan,” katanya.

Selain itu, katanya BNM turut memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit oleh syarikat pengeksport selain terus menggalakkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian eksport supaya kebergantungan kepada dolar Amerika dapat dikurangkan.

Beliau berkata Kementerian Kewangan dan BNM juga telah mengambil tindakan bersepadu dan terselaras bagi membawa masuk aliran wang ke dalam pasaran pertukaran mata wang asing.

“Antaranya termasuklah menggalakkan GLIC dan GLC membawa pulang pendapatan pelaburan asing dan menukar pendapatan tersebut kepada ringgit dengan lebih konsisten,” katanya.

Amir Hamzah berkata kerajaan turut mengawal pelaburan luar negara oleh syarikat swasta bagi mengurangkan tekanan kepada ringgit — ini termasuk menggalakkan mereka mengutamakan pelaburan domestik dan menangguhkan pelaburan luar negara baharu.

“Pelaburan luar negara perlulah diurus secara berhemat seperti melindungi nilai pendedahan mata wang asing dan membawa balik hasil pelaburan luar negara,” katanya.

Selain langkah-langkah bersama BNM, katanya kerajaan juga menumpukan usaha pembaharuan ekonomi yang secara tidak langsung akan mengukuhkan prestasi ekonomi dan mata wang ringgit.

“Kerajaan telah memperkenalkan kerangka Ekonomi Madani, dengan tonggak utama adalah untuk menstrukturkan semula ekonomi supaya muncul sebagai peneraju Asia.

“Ekonomi Madani menumpukan usaha memastikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing,” katanya.

Dalam menangani isu nilai ringgit, katanya semua pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing dan rakyat Malaysia diharap mengamalkan sikap ‘Malaysia First’ sebagai pengguna harian.

“Belilah barangan dan perkhidmatan Malaysia serta melaburlah dalam unit amanah dan pelaburan lindung domestik,” katanya.

Beliau berkata kempen melancong dalam negara dan beli barangan tempatan terus ditingkatkan kerana ia membantu memperkukuh nilai ringgit dan menambah baik prestasi ekonomi.

Bagi menggalakkan kemasukan pelancong luar negara, katanya kerajaan telah mengambil pelbagai langkah antaranya mengecualikan visa selama 30 hari untuk warganegara Cina dan India mulai Disember 2023. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast