Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Pemuda UMNO menggesa umat Islam terus memboikot kedai serbaneka KK Mart kerana keengganannya memasang kain rentang permohonan maaf di semua 881 premisnya di seluruh negara susulan kebiadabannya menjual stoking kalimah Allah.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, umat Islam juga pastinya tidak sabar untuk melihat apakah nasib rangkaian kedai 24 jam itu selepas tiga hingga empat bulan diboikot dengan lebih teruk.

Menurutnya, walaupun KK Mart tidak menerima cadangannya supaya membuat permohonan maaf di semua 881 cawangannya di seluruh negara, semangat umat Islam akan lebih kuat untuk memboikot sehingga ia terpaksa ditutup.

“Boikot tetap diteruskan kerana lagi kuat pihak yang membela premis itu supaya tidak diboikot, lagi kuat umat Islam tidak akan pergi ke premis itu.

“Ini bukan sebab kita hendak aniaya KK Mart, tapi sebagai tanda peringatan dan tekanan jelas kepada mereka yang masih lagi bermain isu-isu sensitif 3R (bangsa,agama dan raja) ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, umat Islam harus memberikan mesej jelas maruah dan perasaan mereka sudah banyak kali diperlekehkan dan kali ini mereka perlu bersatu.

“Sekali kita kena buat (isu 3R) mungkin boleh dterima, tapi benda ini dah berulang banyak kali dan hari ini umat Islam kena bersatu untuk beri tekanan besar kepada mereka sebagai pengajaran.

“Kita akan tengok dalam tempoh tiga empat bulan ini, bagaimana KK Mart boleh bertahan,” tegasnya.

Penjualan stoking kalimah Allah di KK Mart Bandar Sunway, tular selepas gambar produk diimport pembekal dari negara China berkenaan dimuat naik pengguna di media sosial sejak 13 Mac lalu.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil mengecam tindakan kedai serbaneka itu sebelum pengasasnya dan syarikat pembekal membuat sidang media permohonan maaf. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast