Foto: JBPM

KOTA KINABALU – Seorang anggota bomba wanita dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas mengalami kecederaan selepas terkena renjatan elektrik ketika memadam kebakaran di Kampung Keliangau 2, Tebobon, Menggatal dekat sini hari ini.

Mangsa, Samantha Echa Sigah, 36, dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth II (QEH II), di sini, untuk mendapatkan rawatan selanjutnya dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua BBP, Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima kecemasan mengenai kebakaran itu jam 10.05 pagi dan menggerakkan sepasukan anggota bersama jentera bomba dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke tempat kejadian terletak kira-kira 10 kilometer dari balai berkenaan.

Beliau berkata, kebakaran itu membabitkan rumah serta sebuah bengkel persendirian dan turut terbakar sepenuhnya tiga kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta Perodua Kancil.

“Operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air daripada jentera dan kebakaran berjaya dikawal pada jam10.44 pagi,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Katanya, operasi memadam kebakaran dibantu pasukan BBP Kota Kinabalu dan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB) turut berada di lokasi kejadian. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast