Home Eksklusif Blok Ibu dan Anak HTAA bernilai RM530 juta akan siap tahun 2026

Blok Ibu dan Anak HTAA bernilai RM530 juta akan siap tahun 2026

KUANTAN – Sebuah blok khas menempatkan Hospital Ibu dan Anak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bernilai RM530 juta akan dibina di daerah ini tidak lama lagi.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan, Ir Razali Kassim berkata, pembinaan bangunan yang berkeluasan hampir 31 ekar itu, dijangka siap menjelang tahun 2026 nanti.

Tambahnya, kedudukan lokasi strategik hospital berkenaan di tengah-tengah bandar raya ini memudahkan pesakit dan pelawat kerana terletak tidak jauh daripada HTAA melalui Jambatan Putra.

“Pembinaan blok Hospital Ibu dan Anak di kawasan baharu di Tanjung Lumpur, bukan di HTAA ini tetapi terletak bersebelahan dengan jambatan baharu Tanjung Lumpur.

“Sekarang kerja awalan sedang dilakukan, proses merancang sebagainya dengan memakan kos RM530juta,” katanya  kepada MalaysiaGazette.

Tambahnya, pembinaan hospital ibu dan anak baharu itu akan mengurangkan kesesakan parkir di bangunan sedia ada.

Selain itu mampu mengurangkan kepadatan ruang bangunan apabila mengasingkan unit tersebut agar dapat memberi fokus kepada golongan berkenaan.

Difahamkan Hospital Ibu dan Anak HTAA itu mampu menempatkan beberapa unit wad dan 376 katil pesakit.

Bangunan ini bakal mempunyai bahagian unit forensik, wad sakit puan, unit rawatan rapi (ICU), wad obstetrik dan ginekologi (O&G), wad pediatrik umum, wad pembedahan pediatrik, klinik pakar dan lain-lain.

Terdahulu Razali mengadakan lawatan dan tinjuauan di beberapa unit dan taklimat pengurusan aset jabatan semalam bersama kakitangan HTAA dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.

Menurutnya, bangunan hadapan asrama kejururawatan digunakan untuk menyimpan rekod fail pesakit yang berusia tujuh hingga 25 tahun di bangunan berkenaan.

Penggunaan sementara bangunan itu sebagai penyimpanan rekod itu ekoran HTAA masih belum menerima perkhidmatan pendigitalan Hospital Information System (HIS). – MalaysiaGazette