Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar bercakap semasa sesi sidang media pada Majlis Hari Bersama Media sempena pelaksanaan Mahkamah Rendah Syariah (bahagian Nafkah) di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil maklum terdapat cadangan supaya pindaan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kuasa yang jelas kepada negeri-negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Bagaimanapun, cadangan berhubung dengan perkara ini tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru.

“Kajian yang mendalam dan komprehensif berhubung dengan perkara tersebut hendaklah dibuat bagi memastikan apa-apa keputusan yang dibuat adalah tepat, teratur dari segi undang-undang dan boleh dipertahankan sekiranya ia dicabar di mahkamah kelak,” jawab Mohd Na’im dalm jawapan bertulis semalam.

Mohd Na’im berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Tan Sri Abdul hadi Awang (PN-Marang) yang ingin tahu apakah kesediaan kerajaan meminda Perlembagaan agar hak negerinegeri untuk menggubal enakmen jenayah Syariah dapat dilindungi.

Tambah Mohd Na’im, Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam akan mengkaji dan memperhalusi perkara ini.

“Saya percaya kajian yang sedang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Khas ini dapat membantu mencari jalan penyelesaian terbaik dan harmoni bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit berhubung dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” jawab Mohd Na’im lagi.

Menurutnya, sebarang syor, pandangan dan cadangan yang akan dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas ini termasuklah pindaan kepada apa-apa undang-undang mahupun Perlembagaan Persekutuan akan diperhalusi dengan teliti. –  MalaysiaGazette