Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hajjah Hanifah Hajar Taib hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 21 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Individu yang tidak mengemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) kemungkinan akan tertinggal daripada menerima bantuan dan subsidi kerajaan, kata Kementerian Ekonomi.

Bagaimanapun, kerajaan masih mempunyai altenatif lain yang boleh digunakan melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai agensi sektor awam.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, ia termasuk melalui kerajaan negeri dan tempatan, serta agensi syarikat milik kerajaan dan syarikat pelaburan milik kerajaan yang terdapat dalam Padu bagi membentuk data yang komprehensif mengikut individu dan isi rumah,” katanya dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Hanifah berkata demikian menjawab pertanyaan Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang ingin tahu apakah terdapat alternatif buat individu yang tidak dapat mendaftar di dalam Padu atas pelbagai sebab.

Shafizan juga mahu kerajaan memperincikan apakah terdapat jaminan golongan itu tidak akan ketinggalan daripada mendapatkan kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

Hanifah turut memberitahu, Dewan Rakyat bahawa sehingga 12 Mac lalu, Padu telah mengintegrasikan 314 set data pelbagai agensi yang menjadi asas untuk membentuk profil individu yang komprehensif.

“Ini termasuk maklumat 8.6 juta pemohon Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk golongan B40 warganegara Malaysia,” katanya lagi.

Isnin lalu, Menteri Ekonomi berkata, sebanyak 4,752 kawasan di Malaysia belum diliputi pendaftaran Padu dan berisiko keciciran.

Oleh itu, Rafizi menggesa orang ramai untuk mendaftar dan mengemaskini data di Padu sebelum tarikh akhir 31 Mac 2024 untuk mengelakkan risiko keciciran berterusan.

Menurut data yang diberikan Rafizi, Selangor mencatatkan 1,282 kawasan belum diliputi pendaftaran Padu , diikuti dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 992 kawasan, Sarawak 765 kawasan dan Sabah 620 kawasan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Silap silap haribilan kerajaan ni boleh tumbang sebab PADU. Kenapa tak permudahkan sepertimana program yang pernah dioerkenalkan oleh DSNR. Yang ni lebih kepada menyusahkan dan tak nak bagi kemudahan kepada rakyat. Malulah . Takpayah lah jadi cerdik buruk.

Comments are closed.