Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Sistem saraan baharu bagi penjawat awam masih di peringkat penelitian lanjut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata,  sebarang cadangan dan bantahan yang diterima akan dijadikan input dalam kajian ini.

“Seterusnya hasil kajian akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan pelaksanaannya.

“Kerajaan merakamkan penghargaan atas maklum balas dan cadangan yang dikemukakan dan semestinya akan memperhalusi maklum balas dan cadangan tersebut supaya kaedah baharu yang dirangka tidak merugikan mana-mana pihak,” jawab Zaliha dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Zaliha memberikan respons berkenaan semasa menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu rancangan kerajaan tidak memberi pencen kepada kakitangan awam bagi mengurangkan perbelanjaan Kerajaan dan apakah kerajaan telah mengambil kira bantahan-bantahan masyarakat terhadap rancangan ini.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, cadangan kaedah baharu lantikan tetap masih di peringkat kajian.

“Dalam masa sama, adalah dijelaskan bahawa skim pencen bagi pegawai yang sedang berkhidmat serta pesara sedia ada tetap akan diteruskan,” katanya lagi.

Awal bulan ini, Zaliha berkata kerajaan memberi jaminan sistem saraan baharu yang akan diperkenal kelak tidak merugikan penjawat awam lantikan baharu.

Sistem itu juga katanya akan dipastikan mempunyai elemen yang dapat menarik bakat terbaik negara supaya berminat untuk masuk dan berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengesahkan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sudah berada di peringkat akhir bagi meningkatkan kadar upah penjawat awam di negara ini.

Anwar berkata SSPA baharu itu akan cuba diumumkan sebelum akhir tahun ini selepas 10 tahun gaji penjawat awam tidak dinaikkan sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast