SIK – Penghuni sebuah rumah terkejut apabila mendapati seekor ular tedung selar sepanjang empat meter sedang berlingkar atas alang kayu bilik air rumahnya di Kampung Batu 2, Sungai Pau di sini semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sik, Lt. (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehadiran ular itu pada jam 10.22 malam.
“Pasukan kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap repitila berbisa itu setelah ia cuba melarikan diri dan bersembunyi di dalam rekahan kayu berkenaan.
“Ular jenis King Cobra itu berjaya ditangkap dengan peralatan khas dan dibawa pulang ke Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sik sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sik,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Dalam perkembangan sama, Haisul Aishah turut meminta orang awam sentiasa waspada dengan kehadiran reptilia berbisa ketika cuaca panas.
“Cuaca panas mengundang reptilia berbisa untuk tumpang berteduh di kediaman terutama kawasan sejuk iaitu bilik air, bilik tidur dan bawah katil,” katanya. – MalaysiaGazette