Gambar hiasan

MELAKA – Kaum Cina di negeri ini menyokong usaha Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh memboikot rangkaian kedai KK Mart yang terpalit isu kontroversi penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Namun, pada masa sama, mereka berharap Dr Akmal dapat mengawal ‘api’ kemarahannya.

Tinjauan MalaysiaGazette di sini hari ini mendapati, rata-rata mereka menyokong pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap premis terbabit kerana tidak menjaga sensitiviti agama Islam di negara berbilang kaum ini.

Pesara, Bobby Tan, 71, berkata, mana-mana agama sekali pun tidak sewajarnya dihina sebegitu rupa apatah lagi jika kesalahan itu dilakukan sebuah syarikat besar.

Bobby Tan

“KK Mart sepatutnya tahu kerana pelanggannya terdiri daripada pelbagai kaum dan sama juga jika diletakkan Buddha di stoking pun tak patut.

“Kalau perlu boikot untuk beri kesedaran baguslah untuk tunjuk mereka tak gembira dan protes tapi (Dr Akmal) diharapkan dapat kawal sikit emosi dan tidak terlalu agresif,” katanya.

Johnson Tan

Pandangan sama dilontarkan, Johnson Tan, 40-an, yang turut menyokong gerakan boikot dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.

“Kita boleh boikot KK Mart kerana tidak sepatutnya mereka melakukan kesalahan menjual produk dengan cara yang tidak menghormati agama lain.

Kelvin

“Macam kita kaum Cina nak buat (gambar) tokong tak boleh letak di stoking begitu juga dengan nama Allah dan mungkin kalau letak di sebelah atas baju tak mengapa,” katanya.

Nada sama dikongsikan Kelvin, 65 dan Chong, 64, namun berharap Dr Akmal dapat bersabar dan tidak mengambil tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Chong

“Dia boleh minta (boikot) tak salah tapi janganlah terlalu agresif kerana pengasas KK Mart juga sudah memohon maaf atas kesalahannya itu yang wajar dikenakan tindakan,” katanya.

Bagi masyarakat Portugis, Gerard Lopez, 77, Dr Akmal wajar bertindak lantang mempertahankan agamanya apabila Islam diperlakukan sedemikian rupa.

Gerard Lopez

“Mana-mana agama pun akan marah termasuk saya penganut Katolik, bila diletak lambang salib pada stoking untuk dijual pasti hati saya akan terguris.

“Kalau Dr Akmal tidak buat begitu (lantang) akan berlaku lagi kejadian ini di masa hadapan sebab itu saya sokong usaha boikot ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast