Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ujian tekanan kesolvenan dan mudah tunai terus menunjukkan bahawa bank-bank kekal memiliki daya tahan yang tinggi untuk menghadapi kejutan makroekonomi, kewangan dan mudah tunai yang teruk.

Di bawah ujian tersebut, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, sistem perbankan dijangka mengalami kerugian besar terutamanya daripada risiko kredit dan penilaian semula sekuriti yang dipegang dalam portfolio nilai saksama melalui pendapatan komprehensif lain (FVOCI).

Sepanjang tiga tahun tempoh ujian tekanan yang dijalankan pada awal 2024 sehingga akhir 2026, BNM berkata dua senario buruk hipotetikal yang menampilkan dua laluan penguncupan atau kelembapan ekonomi yang berbeza digunakan untuk menilai daya tahan institusi kewangan.

Senario buruk pertama (SB1) direka untuk menguji daya tahan institusi kewangan terhadap kejutan keadaan ekonomi yang sementara tetapi mendalam, manakala SB2 menilai keupayaan institusi kewangan untuk menghadapi persekitaran operasi yang mencabar secara berterusan dalam tempoh yang panjang.

BNM berkata demikian dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Tahun Dua 2023 (ST2 2023) yang dikeluarkan hari ini.

Menurut BNM, kos kredit terkumpul dianggarkan sebanyak RM63.1 bilion dan RM70.8 bilion masing-masing di bawah SB1 dan SB2, atau 53 dan 57 peratus daripada jumlah kerugian.

“Kerugian daripada operasi luar negeri kumpulan perbankan domestik (DBG) mencakupi kurang 20 peratus daripada kos kredit kumulatif, berpunca terutamanya daripada kemungkiran syarikat bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) besar.

“Sementara itu, kejutan kadar hasil ujian tekanan dijangka menyebabkan kerugian penilaian semula yang besar bagi bon dalam portfolio FVOCI (masing-masing RM54.7 bilion dan RM51.7 bilion daripada jumlah kerugian di bawah SB1 dan SB2), secara langsung mengurangkan penampan modal sistem perbankan,” katanya.

Sebaliknya, BNM berkata, kerugian risiko pasaran yang dikaitkan dengan akaun dagangan bank-bank adalah minimum, mencakupi hanya kira-kira 2.0 peratus jumlah kerugian, manakala kerugian daripada pergerakan pertukaran asing juga kekal terhad di bawah kedua-dua senario disebabkan oleh kedudukan terbuka bersih bank-bank yang agak kecil.

Menjelang akhir tempoh tekanan pada tahun 2026, ia berkata, pinjaman terjejas keseluruhan dijangka meningkat kepada 7.8 dan 8.6 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan masing-masing di bawah SB1 dan SB2, didorong terutamanya oleh pinjaman terjejas isi rumah.

BNM berkata di bawah SB1 dan SB2, peminjam isi rumah yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan mencakupi bahagian terbesar daripada peminjam yang berisiko mungkir memandangkan penampan kewangan mereka yang lebih rendah.

Bagaimanapun, dari segi nilai, ia berkata peminjam ini membentuk bahagian yang lebih kecil daripada pinjaman terjejas baharu, mencerminkan jumlah pinjaman yang lebih rendah berbanding dengan kumpulan berpendapatan tinggi.

“Peminjam berpendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan juga kekal mudah terjejas kepada kemelesetan ekonomi memandangkan keberhutangan mereka yang agak tinggi berbanding dengan kumpulan pendapatan lain.

“Mereka membentuk sehingga 30 peratus daripada peminjam yang berisiko mungkir dan 43 peratus daripada pinjaman terjejas baharu mengikut nilai,” kata bank pusat itu.

Sementara itu, BNM berkata 61 peratus daripada unjuran peningkatan dalam pinjaman terjejas perniagaan di bawah SB2 disebabkan oleh bukan PKS, dengan sebahagian besar peningkatan tersebut adalah daripada kumpulan peminjam yang sudah berada dalam kedudukan kewangan yang lemah.

PKS mencakupi baki 39 peratus pinjaman terjejas perniagaan dengan unjuran kemungkiran yang lebih tinggi di bawah SB2. Hal ini telah dijangka memandangkan penampan kewangan terhad PKS yang terhakis dalam keadaan kemelesetan, katanya.

Sementara itu, ujian tekanan kesolvenan makro untuk penanggung insurans juga menggabungkan senario SB1 dan SB2 yang sama, dengan andaian tambahan khusus untuk insurans.

“Di bawah kedua-dua senario, sektor insurans dinilai akan mengekalkan nisbah kecukupan modal agregat melebihi keperluan minimum pengawalseliaan. Risiko pasaran kekal sebagai pendorong kerugian utama bagi penanggung insurans hayat dan am, berikutan hasil bon yang meningkat dan pasaran ekuiti yang lemah memberikan kesan terhadap pemegangan aset kewangan mereka yang signifikan.

“Bagaimanapun, hasil penilaian semula liabiliti yang menurun disebabkan oleh peningkatan dalam kadar hasil bon dijangka sebahagiannya dapat mengurangkan kesan ke atas nisbah kecukupan modal untuk penanggung insurans hayat,” katanya.

Menurut BNM, pendapatan pengunderaitan yang mampan daripada premium perniagaan baharu terus menyokong nisbah kecukupan modal meskipun pembayaran insurans perubatan dan kesihatan yang diandaikan lebih tinggi.

“Bagi penanggung insurans am, pendapatan premium yang lebih rendah dalam keadaan persaingan yang semakin sengit serta tuntutan yang lebih tinggi daripada segmen motor dan kebakaran turut menyumbang kepada penurunan nisbah kecukupan modal.

“Dua penanggung insurans, yang mencakupi kurang 3.0 peratus daripada jumlah aset insurans, diunjurkan tidak akan mematuhi paras minimum pengawalseliaan selepas kejutan,” katanya.

Ujian tekanan kesolvenan makro insurans ditambah dengan penilaian mudah tunai untuk menilai keupayaan penanggung insurans memenuhi keperluan mudah tunai jangka pendek di bawah keadaan tertekan yang timbul daripada peningkatan pembayaran berkaitan perubatan, serahan dan tuntutan motor serta kebakaran yang lebih tinggi termasuk tuntutan yang berpunca daripada insiden banjir.

Penilaian mudah tunai mengesahkan bahawa penanggung insurans mempunyai aset mudah tunai yang mencukupi dan mampu memenuhi obligasi ini, katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast