Mohd Iqbal Ibrahim

SHAH ALAM – Seorang warga asing yang disyaki terbabit dalam pembunuhan seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah kilang di Seksyen 36, di sini, direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 26 Mac ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, perintah reman terhadap warga Pakistan itu dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Reman dibenarkan selama tujuh hari bermula 20 Mac hingga 26 Mac 2024,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, seorang warga asing yang disyaki terbabit dalam pembunuhan seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah kilang di Seksyen 36, di sini, ditahan polis kira-kira 10 minit selepas menerima laporan berkaitan kejadian ini pada jam 7.20 malam.

Menurut Mohd Iqbal, hasil siasatan polis mendapati mangsa, 49, merupakan pekerja am ditikam rakan sekerjanya yang tinggal bersama di dalam sebuah kontena yang dijadikan hostel kilang.

Katanya, kejadian berpunca daripada suspek marah apabila mangsa meminum air orennya semasa berbuka puasa dan tertuduh bertindak menikam rakannya beberapa kali dengan menggunakan sebilah pisau yang diambil dari dapur. – MalaysiaGazette