BERA – Seramai 46 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal masing-masing oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang semalam.
Pengarah JIM Pahang, Muhammad Hatta Kassim berkata, kesemua PATI dihantar melalui perkhidmatan pesawat US-Bangla Airlines, Emirates Airlines, Malindo Air dan Air Asia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Kesemua PATI terdiri daripada 17 orang warga Bangladesh, Thailand (10), Pakistan (9), Filipina (5), India (3), China (1) dan Nigeria (1).
Menurutnya, PATI adalah tahanan dari Depot Imigresen Kemayan, Bera yang telah selesai menjalani hukuman setelah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Muhammad Hatta berkata, program pemindahan PATI yang dikendalikan oleh Depot Imigresen Kemayan itu merupakan sebahagian dari aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan oleh JIM Pahang. – MalaysiaGazette