Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid

KUANTAN – Semua pihak harus memberikan ruang sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh ke atas pihak yang bertanggungjawab berhubung isu stokin tertera kalimah Allah.

Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, siasatan menyeluruh sangat penting bagi mengesan dalang berkaitan isu tersebut, sekali gus membawa mereka yang bertanggungjawab mencetuskan polemik ini ke muka pengadilan dan dihukum kerana menggugat sensitiviti umat Islam di negara ini.

“MBM memandang serius perkara ini kerana jika ia tidak diselesaikan dengan adil dan baik, ia akan mampu mencetuskan ketegangan kaum dan agama yang melampau.

“Tiada kompromi boleh diberikan kepada pihak yang mempermainkan perkara berkaitan agama, bangsa atau raja (3R) tanpa mengira pihak manapun,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Melihat kepada lipatan sejarah di Malaysia, Mohd Izzat berkata, rakyat telah banyak menyaksikan isu sensitiviti agama ini terjadi.

Justeru, MBM ingin mengingatkan semua pihak wajar mengambil iktibar tentang apa yang terjadi dan meletakkan isu sensitiviti agama di tahap yang tertinggi tidak kira dalam apa perkara sekalipun.

Menurutnya MBM  menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong dan Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor  yang menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab serta penekanan agar isu ini tidak berulang lagi.

“Di dalam kemajmukan kaum dan agama di Malaysia, penting untuk diingat bahawa setiap agama mempunyai batasan masing-masing dan bagi umat Islam, penggunaan dan penghormatan terhadap kalimah Allah adalah suatu kewajipan yang tertinggi.

“Maka, kemurkaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menjadi isyarat jelas bagaimana polemik isu kalimah Allah ini tidak boleh dipandang sebelah mata,” ujarnya.

Tegasnya perkara tersebut tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa membiarkan sahaja pihak yang terlibat ‘menang’ apatah lagi di kala umat Islam di seluruh negara sedang menjalani ibadah puasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast