SUBANG – Beg bagasi berisi wang melebihi setengah juta ditemui di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli belah, di Damansara semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, beg berwarna putih dan merah jambu tanpa pemilik itu ditemui oleh pengawal keselamatan pusat beli belah tersebut pada jam 8 pagi.

“Semalam 8 pagi, pihak polis menerima laporan pengawal keselamatan pusat beli belah di Damansara yang menjumpai satu beg berisi wang tunai, melebihi RM500,000 dan tidak tahu siapa pemilik di kawasan parkir.

“Hasil pemeriksaan dan semakan beg bagasi itu mengandungi wang kertas RM100, RM50 dan RM10,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya hari ini.

Menurut beliau, polis mempercayai kesemua wang adalah tulen namun dalam masa yang sama akan membuat pengesahan dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

Mengulas lanjut beliau berkata, polis mendapati kamera litar tertutup (CCTV) tidak menghala ke tempat beg tersebut ditemui.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis membuka kertas siasatan untuk menyiasat pemilik wang berkenaan.

Dalam masa sama, Hussein meminta pemilik wang untuk menuntut di balai polis dengan bukti yang kukuh.

“Sekiranya pemilik nak menuntut (wang), datang ke balai polis dengan menyatakan secara terperinci dan bukti mengesahkan duit itu miliknya,” ujarnya.- MalaysiaGazette