KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) diminta menetapkan peraturan supaya diskaun tanpa tuntutan (NCD) turut diperkenalkan bagi insurans kesihatan sebagaimana yang dilaksanakan dalam insurans kenderaan.
Perkara itu dibangkitkan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) susulan isu kenaikan premium insurans kesihatan dan caj hospital swasta yang dilihat membimbangkan.
Menurutnya, ia diburukkan dengan dakwaan apabila syarikat insurans dan hospital swasta sewenang-wenangnya menaikkan caj rawatan.
“Kebanyakannya mereka ini warga emas yang membeli insurans kesihatan ketika premium dikenakan pada kadar yang rendah semasa muda. Tetapi, apabila premium meningkat sehingga 100 peratus, ia membebankan sehingga mereka tidak mampu membayarnya.
“Ini menyebabkan mereka mendapatkan rawatan di hospital kerajaan yang secara tidak langsung membebankan kerajaan, sedangkan hospital swasta dan syarikat insurans mendapat keuntungan lebih,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Poay Tiong turut meminta Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan mengawal penetapan premium insurans kesihatan oleh syarikat insurans.
Dalam pada itu, menjawab persoalan yang dikemukakan, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, inflasi kos perubatan yang tinggi serta trend penggunaan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat merupakan antara faktor utama mendorong peningkatan kadar premium insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT).
Katanya, isu inflasi kos perubatan memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak bagi memastikan akses kesihatan dan produk MHIT kekal mampan dan mampu milik dalam jangka masa panjang.
“Kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) juga sedang dipergiat untuk melaksanakan inisiatif yang terkandung di dalam Kertas Putih Kesihatan berkaitan pemerkasaan sistem kesihatan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette