KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO tidak mempunyai ’tauke’ untuk dijaga dalam usaha memperjuangkan isu kontroversi stoking tertera kalimah Allah.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh sebaliknya secara sinis berkata, beliau tidak pasti sama ada menteri Kabinet yang menentang usahanya itu ada memiliki tauke atau tidak.
Begitu jugadengan pemimpin DAP dan MCA yang tidak sebulu dengan pendiriannya dalam isu tersebut.
“Saya cuba hendak menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang Islam yang terkesan apabila agamanya dihina. Jadi saya percaya ini adalah hasrat semua rakyat Malaysia dan Pemuda UMNO akan tegas serta lantang bersuara.
“Saya hendak beritahu saya tidak ada tauke, Pemuda UMNO tidak ada tauke nak menjaga tauke masing masing. Mungkin menteri-menteri, mungkin pemimpin DAP dan MCA ada tauke yang nak perlu dijaga, saya tidak ada dan saya tak pernah kisah pun pasal tauke-tauke ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Sebelum itu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menyokong penuh pendirian Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung kontroversi stoking tertera kalimah Allah selepas berdepan tekanan daripada parti komponen dalam kerajaan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki pada sidang media berkata, parti akan terus membawa suara orang Melayu dalam mempertahankan Islam di negara ini.
Menurut beliau, UMNO akan berpegang kepada syarat dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang sesekali tidak akan meremehkan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
MCA sebelum ini mempersoalkan tindakan Pergerakan Pemuda UMNO dan DAP dalam isu penjualan stoking dengan kalimah Allah yang dikesan berlaku di premis niaga milik KK Super Mart.
Pada minggu lalu, Ketua Biro Hubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA, Lu Yen Tung berkata, pihaknya akur tindakan menjual stoking dengan cetakan kalimah terbabit adalah salah namun menganggap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO tidak seharusnya bertindak agresif berikutan permohonan maaf yang sudah dibuat pihak terbabit.
Pada masa, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan berkata, parti itu tidak bersetuju dengan pendekatan Dr Akmal menegur KK Mart.
Beliau yang merupakan Menteri Pengangkutan turut mempersoalkan sama ada Dr Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka akan bertindak demikian sekiranya melibatkan syarikat milik orang Islam. – MalaysiaGazette