KUALA LUMPUR – Polis telah melengkapkan semua kertas siasatan berhubung isu kalimah Allah pada stoking yang mendapat perhatian di seluruh negara ketika ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya kini sedang menunggu arahan selanjutnya daripada Peguam Negara.
Setakat ini sebanyak 143 laporan polis telah diterima berhubung isu tersebut dan seramai 174 saksi telah diambil keterangan.
“Kertas siasatan sudah lengkap. kita tunggu arahan terakhir dan terkini dari AGC (Peguam Negara). Bila kita dah dapat (arahan) kita akan maklum pada media,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Pada masa sama, Shuhaily meminta golongan agamawan agar tidak membakar semangat umat Islam secara berlebihan berhubung isu tersebut.
Katanya, adalah lebih baik perkara itu diserah sahaja kepada pihak berkuasa untuk diselesaikan secara aman.
Shuhaily turut mengingatkan orang ramai agar jaga batasan ucapan yang dibuat dan semua pihak diminta bertenang kerana tindakan telah diambil.
Tegas beliau, pihak yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan mengikut peruntukkan undang-undang.
“Di bulan puasa ini banyakkan bersabar, kita siasat dan ambil tindakan undang-undang. Biarlah kerja kuat kuasa ini dibuat oleh pihak berwajib.
“Ambil tindakan sendiri, tidak akan redakan tapi memburukkan keadaan. Sebagai umat Islam, barokah bulan puasa ini kita hayati apa sepatutnya, lebih baik konteks tidak puas hati dizahirkan dalam bentuk laporan polis dan seperti sedia maklum apa sahaja laporan yang diterima akan disiasat,” ujarnya. – MalaysiaGazette